KOTA KINABALU 25 Februari Kerajaan Sabah mengalu alukan nasihat perjalanan terbaru yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat yang meletakkan semua kawasan tanah besar Sabah termasuk Pantai Timur di bawah Tahap 1 iaitu langkah berjaga jaga biasa.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pengelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa Sabah secara keseluruhan merupakan destinasi yang selamat dan stabil untuk pelawat antarabangsa.
Menurut beliau walaupun nasihat perjalanan itu masih mengekalkan Tahap 2 bagi beberapa pulau dan kawasan maritim di Pantai Timur namun ia tidak melibatkan bandar utama kawasan tanah besar atau pintu masuk pelancongan utama.
Katanya kerajaan negeri menghormati hak kedaulatan mana mana negara untuk mengeluarkan panduan perjalanan berdasarkan penilaian masing masing namun menegaskan keadaan keselamatan di Sabah Timur telah banyak bertambah baik dan kekal stabil sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata tiada kejadian culik untuk tebusan dilaporkan di perairan Pantai Timur Sabah sejak Januari 2020 apabila elemen jenayah yang dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf kali terakhir dilaporkan berada di kawasan berkenaan.
Tambahnya operasi keselamatan yang diketuai ESSCOM terus diperkukuh melalui rondaan bersepadu pemantauan maritim yang dipertingkatkan serta kerjasama rapat antara agensi keselamatan Malaysia.
Langkah langkah tersebut katanya terbukti berkesan dalam memastikan keamanan serta melindungi penduduk dan pelawat.
Menurutnya pengusaha pelancongan dan resort pulau di Sabah juga beroperasi mengikut protokol keselamatan yang ketat serta pemantauan keselamatan berterusan.
Beliau berkata Sabah kekal sebagai antara destinasi eko pelancongan utama di Asia Tenggara dengan peningkatan jumlah pelawat antarabangsa mencerminkan keyakinan global yang berterusan terhadap negeri ini.
Kerajaan Sabah katanya akan terus memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan akan bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan persekutuan dan negeri bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi yang selamat dan mesra pelawat.
Sabah katanya sentiasa terbuka selamat dan bersedia menerima kehadiran pelawat dari seluruh dunia.
