TAWAU: Isu pergerakan harga saham dan dakwaan unsur dagangan dalaman dibangkitkan semasa sesi soal balas dalam perbicaraan kes sivil membabitkan Bahvest Resources Bhd di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Prosiding yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos itu menyaksikan keterangan saksi pertama plaintif, Chong Zhu Khen, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif serta pemegang saham yang kemudiannya dilantik sebagai pengarah syarikat berkenaan.
Chong disoal balas peguam bela, Andy Tay, berhubung dakwaan berkaitan manipulasi pasaran yang didakwa membabitkan Datuk Lo Fui Ming.
Dalam sesi berkenaan, pihak pembelaan mencadangkan bahawa tuntutan dikemukakan plaintif membawa implikasi dakwaan manipulasi pasaran terhadap Lo.
Chong mengakui soalan dikemukakan menyentuh elemen dagangan dalaman, namun beliau tidak bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan peguam bela.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa selepas dilantik sebagai pengarah pada Mei 2023, beliau tidak membuat sebarang aduan rasmi kepada pihak pengawal selia kerana memberi tumpuan kepada kesinambungan operasi perlombongan serta menjaga kepentingan pemegang saham.
Peguam bela kemudian mencadangkan bahawa ketiadaan tindakan rasmi itu melemahkan dakwaan berkenaan, namun perkara itu dipertikaikan Chong.
Mahkamah turut mendengar pertikaian sama ada Lo masih merupakan pemegang saham kawalan selepas melupuskan sebahagian sahamnya.
Pihak pembelaan mencadangkan kehilangan status pemegang saham kawalan akan mengehadkan pengaruh terhadap mesyuarat agung luar biasa (EGM), manakala Chong menegaskan kedudukan dalam lembaga pengarah masih mampu memberi pengaruh.
Isu Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) turut dibangkitkan apabila Chong bersetuju bahawa kelulusan pemegang saham serta pendedahan kawal selia diperlukan, namun menyatakan kebimbangan terhadap potensi pencairan saham.
Beliau juga mengakui tiada bantahan bertulis dikemukakan sebelum notis permintaan mesyuarat pemegang saham dikeluarkan pada April 2023.
Sepanjang soal balas, pihak pembelaan menekankan ketiadaan aduan bertulis atau bukti dokumentari bagi menyokong beberapa dakwaan, dengan Chong mengesahkan kebanyakan kebimbangannya dibangkitkan secara lisan dan bukan melalui dokumen rasmi.
Prosiding ditangguhkan dan akan disambung semula esok jam 9.30 pagi.
