KUALA LUMPUR: Cadangan insentif kerajaan sebanyak RM4,000 bagi menggalakkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun melupuskan kereta lama dilihat sebagai langkah yang selaras dengan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan pencemaran udara di negara ini.
Kenderaan moden kini dilengkapi teknologi keselamatan yang jauh lebih maju berbanding kereta yang dihasilkan dua dekad lalu. Penambahbaikan dari segi struktur perlindungan pelanggaran, sistem brek dan teknologi keselamatan aktif menjadikan kenderaan baharu lebih selamat digunakan.
Selain itu, kecekapan enjin dan kawalan pelepasan asap juga semakin baik, sekali gus membantu Malaysia mencapai sasaran karbon neutral menjelang tahun 2050.
Dari sudut keselamatan jalan raya, kenderaan lama dianggap ketinggalan dari segi piawaian keselamatan semasa. Banyak kenderaan berusia lebih 20 tahun tidak dilengkapi ciri seperti Kawalan Kestabilan Elektronik, sistem beg udara menyeluruh serta struktur penyerapan hentakan moden.
Sebahagian besar kenderaan lama juga tidak mempunyai kemudahan keselamatan kanak-kanak seperti sistem pemasangan kerusi bayi ISOFIX.
Penggantian kenderaan lama secara berperingkat dijangka dapat mengurangkan tahap kecederaan dan risiko kematian dalam kemalangan jalan raya.
Dari sudut alam sekitar, kebanyakan kenderaan lama masih menggunakan piawaian pelepasan asap Euro 2 atau lebih rendah, manakala kenderaan baharu di Malaysia perlu memenuhi piawaian Euro 4 atau Euro 5.
Peralihan kepada kenderaan baharu dijangka mengurangkan pelepasan bahan pencemar berbahaya seperti nitrogen oksida, hidrokarbon, karbon monoksida dan zarah halus sekali gus memperbaiki kualiti udara terutama di kawasan bandar.
Walaupun pengurangan karbon dioksida bergantung kepada jenis enjin dan corak penggunaan, kenderaan baharu lazimnya lebih jimat minyak serta menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah bagi setiap kilometer perjalanan.
Isu Kos Jadi Pertimbangan Utama
Namun begitu, aspek kemampuan kewangan menjadi isu utama dalam pelaksanaan insentif ini.
Pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang masih menggunakan kereta lama kerana faktor keperluan.
Bagi ramai pemilik, kereta lama sudah habis dibayar, kos insurans rendah dan tidak memerlukan komitmen pinjaman bulanan. Walaupun diberikan insentif RM4,000, pembelian kereta baharu tetap memerlukan pembiayaan yang boleh menjejaskan aliran tunai bulanan.
Namun, kos sebenar pemilikan kenderaan lama tidak semestinya lebih murah kerana kenderaan yang semakin berusia biasanya menggunakan lebih banyak bahan api dan memerlukan penyelenggaraan yang lebih kerap.
Selain itu, kerosakan komponen yang tidak dijangka dan kesukaran mendapatkan alat ganti boleh meningkatkan kos penyelenggaraan dalam jangka panjang.
Dalam keadaan tertentu, penggunaan kenderaan lebih baharu boleh membantu menstabilkan perbelanjaan isi rumah melalui penjimatan bahan api dan pengurangan kos pembaikan tidak dirancang.
Di peringkat industri, inisiatif ini juga berpotensi merangsang jualan kenderaan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif negara.
Kesan ekonomi bukan sahaja melibatkan pengeluar kenderaan, malah turut memberi manfaat kepada pembekal alat ganti, pengedar, bengkel, syarikat insurans, institusi kewangan dan sektor logistik.
Pensyarah Madya Sekolah Kejuruteraan Fakulti Inovasi dan Teknologi Taylor’s University, Ir Dr Rifqi Irzuan Abdul Jalal berkata, insentif pelupusan kenderaan RM4,000 merupakan langkah positif yang mempunyai manfaat jelas dari segi keselamatan dan alam sekitar.
Menurutnya, kebimbangan berkaitan kemampuan kewangan rakyat berpendapatan rendah perlu diberi perhatian supaya peralihan kepada kenderaan yang lebih selamat dan mesra alam dapat dilaksanakan secara realistik dan berkesan.
