KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan sekitar Kota Kinabalu pada 24 hingga 25 Februari lalu.
Operasi melibatkan 24 pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Ibu Pejabat Kota Kinabalu yang memeriksa 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.
Pengarah JIM Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil pemeriksaan mendapati 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tangkapan melibatkan dua warganegara Indonesia iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa. Selebihnya adalah warganegara Filipina terdiri daripada lapan lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara konsisten dan tanpa kompromi bagi membendung kehadiran PATI di negeri ini.
“Sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan diambil tindakan tegas sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan Negeri Sabah,” tegas beliau.
