KOTA KINABALU, 7 Mac – Sepuluh individu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya selepas sebuah van jenis Toyota terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kejadian di Jalan Sekolah Rendah Kionsom, Inanam, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.34 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut laporan, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 10.44 malam selepas menempuh jarak kira-kira sembilan kilometer.
Komander Operasi, PBK II Stanley Peliment berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah van Toyota yang dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan.
Beliau berkata, terdapat seramai 10 mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Daripada jumlah itu, enam mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, dua mangsa mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi mengalami kecederaan parah,” katanya.
Pasukan bomba bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera di lokasi kejadian.
Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, ambulans APM serta jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi melibatkan seramai 12 anggota dari BBP Lintas dengan bantuan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota APM serta tiga petugas KKM.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 malam.
Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
