Pegawai UPPM Kukusan memantau kerja-kerja pembinaan semula sistem perparitan di kawasan berkenaan.
TAWAU: Aduan penduduk berhubung masalah banjir yang kerap melanda Taman Hill Top di sini mendapat tindakan segera kerajaan negeri apabila kerja pembinaan semula sistem perparitan dilaksanakan dalam tempoh kurang dua minggu selepas isu itu dibangkitkan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal, berkata aduan yang sekian lama dihadapi penduduk itu terlebih dahulu dikumpulkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kukusan sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, hasil mesyuarat berkenaan, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) segera melaksanakan kerja pembinaan semula sistem perparitan di kawasan terbabit bagi menangani punca utama kejadian banjir.
“Kerja yang dijalankan melibatkan pembinaan parit yang lebih besar dan tinggi bagi memperbaiki aliran air supaya masalah banjir yang sering berlaku di kawasan itu dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, ketika ini kerja pembinaan semula parit sedang giat dilaksanakan di sekitar kawasan Taman Hill Top.
Menurutnya, usaha berkenaan diharap dapat menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir yang menjejaskan kehidupan penduduk, terutama ketika hujan lebat.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus komited memperjuangkan keperluan rakyat serta memastikan setiap aduan yang disuarakan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Kita akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
