KOTA KINABALU: Tindakan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memecat dan menggantung jawatan serta keahlian sebilangan Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) parti didakwa tidak berpelembagaan serta bercanggah dengan peruntukan perlembagaan parti itu sendiri.
Kenyataan itu disuarakan oleh Timbalan Presiden III USNO, Datuk Edmund J. Doudilim yang mempertikaikan asas tindakan diambil terhadap 12 individu terdiri daripada enam ahli dipecat dan enam lagi digantung.Menurut beliau, kuasa yang kononnya digunakan oleh Pandikar adalah bersandarkan kepada Fasal 52.1 Perlembagaan USNO.
Fasal berkenaan menyebut bahawa “melainkan jika diperuntukkan dalam perlembagaan ini, pihak yang berkuasa melantik juga berkuasa melucut pihak yang dilantiknya.”Bagaimanapun, Edmund berkata tindakan itu tidak boleh dibuat secara berasingan tanpa mengambil kira Fasal 52.3 yang memperuntukkan prosedur tertentu sebelum sebarang tindakan pemecatan atau penggantungan dilakukan.
Fasal 52.3 menyatakan bahawa sebelum seseorang ahli digantung atau dipecat, ahli tersebut hendaklah dimaklumkan secara bertulis mengenai sebab-sebab tindakan itu diambil dan diberikan peluang untuk memberi penjelasan serta membela diri menurut Fasal 46.3.2.
Beliau mendakwa tindakan Pandikar dibuat secara sewenang-wenangnya seolah-olah mempunyai kuasa mutlak tanpa mematuhi prosedur yang telah ditetapkan dalam perlembagaan parti.Menurut Edmund, kewujudan Fasal 52.3 jelas menunjukkan bahawa penggunaan kuasa di bawah Fasal 52.1 tertakluk kepada sekatan dan prosedur yang dinyatakan dalam fasal tersebut.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi yang berlangsung pada 22 April lalu juga tidak pernah membincangkan soal pemecatan atau penggantungan keahlian mana-mana ahli parti.
Susulan itu, Edmund mempersoalkan asas keputusan yang diambil oleh Pandikar untuk melaksanakan tindakan pemecatan dan penggantungan terbabit.Difahamkan, semua individu yang dipecat dan digantung turut menerima notis jemputan menghadiri Mesyuarat AMET yang dijadual berlangsung pada 6 Mei 2026 jam 2.30 petang, dan surat jemputan berkenaan juga dikatakan belum ditarik balik.
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan jumlah ahli AMET yang membantah tindakan membawa USNO keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pandikar dijangka berdepan kesukaran mendapatkan kehadiran mencukupi bagi memenuhi syarat kuorum untuk mengadakan mesyuarat yang sah.Mengikut peruntukan parti, kuorum Mesyuarat AMET memerlukan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan 37 ahli AMET.
Dalam masa sama, Edmund menegaskan bahawa sebarang pelantikan bagi menggantikan ahli yang dipecat hanya boleh dibuat melalui Mesyuarat AMET yang sah, termasuk bagi urusan penggantungan dan pemecatan ahli.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Pandikar yang didakwa mendahului keputusan AMET sebagai tidak masuk akal dan tidak berpelembagaan kerana proses berkenaan sepatutnya diputuskan melalui mesyuarat rasmi parti. – DAKWAT RAKYAT POST
