Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini.
TAWAU: Seorang guru tusyen sambilan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya, sejak Disember 2025 hingga Mac tahun ini.
Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas tujuh pertuduhan merogol anak sulung berusia 25 tahun di tiga buah hotel berasingan masing-masing di Jalan Masjid, di Jalan Dunlop dan di Jalan Bakau daerah ini, antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Md Yatin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 8 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan tertuduh menerima balasan atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya sejak 2016.
Tertuduh dipenjara 165 tahun dan 110 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merogol dua anak kandungnya berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di daerah ini serta Lahad Datu.
