Kedua-dua tertuduh keluar dari mahkamah selepas pertuduhan dilakukan.
TAWAU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 130.57 kilogram (kg), April lalu.
Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya dengan berat 130,575.18 gram, pukul 9.30 malam, di Batu 15 Jalan Apas, di sini, 21 April lalu.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin.
Tiada tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 2 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
