SANDAKAN: Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dan selatan Filipina, dengan mengambil kira aspek keselamatan serta kepentingan ekonomi.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu, namun kajian terperinci perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan, khususnya berkaitan keselamatan perairan serta manfaat kepada peniaga dan ekonomi negeri.
“Kita akan kaji, banyak pihak memberikan cadangan mengenai perkara ini. Semua aspek kita akan ambil kira, khususnya keselamatan dan kebaikannya kepada ekonomi kita.
“Kita akan bincang perkara ini nanti dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan negara di perairan Sandakan, pada Selasa.
Lawatan itu diadakan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Eastern Sabah Security Command di kawasan Eastern Sabah Safety Zone, yang turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.
Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Arifin; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Fairuz Renddan; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; serta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Hajiji bersama rombongan memulakan lawatan ke Pulau Bakungan Kecil sebelum ke Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.
Mengulas lawatan itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan meninjau keadaan di pulau terbabit yang menempatkan penguat kuasa Taman-Taman Sabah serta pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera.
Katanya, lawatan itu juga memberi peluang kepada beliau dan rombongan melihat sendiri keadaan pos keselamatan di pulau sekitar perairan Sandakan.
“Hasil tinjauan ini, saya lihat semua kesiapsiagaan pasukan keselamatan, termasuk fasiliti di pos kawalan dalam keadaan baik dan telah ditambah baik.
“Saya telah bawa perkara ini kepada Anwar Ibrahim dan banyak aset diberi peruntukan walaupun masih banyak lagi yang diperlukan.
“Ini amat penting untuk pasukan keselamatan mengawasi perairan kita, terutama aset canggih yang boleh memantau mereka yang mungkin mahu masuk ke negara kita,” katanya.
Ketua Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap tahap keselamatan perairan pantai timur Sabah dalam membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu, khususnya sektor pelancongan.
Katanya, keadaan keselamatan yang terkawal tanpa insiden sejak sekian lama memberi keyakinan kepada pelancong untuk berkunjung ke kawasan berkenaan.
“Sudah lama tiada insiden dilaporkan berlaku di perairan kita, ini sudah tentu menggalakkan pelancongan di pantai timur Sabah. Apabila keadaan aman dan keselamatan terjamin, ramai pelancong suka datang ke sini dan pelancongan berkembang.
“Pulau Sipadan antaranya menjadi tumpuan sebagai destinasi selaman terbaik dunia, jadi kita perlu menjaga keselamatan untuk memastikan tarikan pelancongan ini terus menjadi tumpuan pengunjung,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
