TAWAU: Sebanyak 60 kit pengurusan jenazah lengkap diagihkan kepada 12 masjid sekitar Kukusan sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menguruskan urusan kematian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, berkata setiap masjid menerima lima kit yang diserahkan terus kepada wakil bagi memastikan kelengkapan sentiasa mencukupi dan tersusun apabila diperlukan.
Beliau berkata, persediaan awal amat penting dan tidak wajar hanya dilakukan ketika berdepan situasi kecemasan.
“Perkara seperti ini tidak boleh ditangguhkan sehingga saat akhir. Kita mahu setiap masjid sentiasa bersedia supaya pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sempurna.
“Program ini juga memasuki tahun kedua pelaksanaannya selepas menerima maklum balas positif daripada pihak masjid serta komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kit berkenaan, semalam.
Rina yang juga Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, pengalaman beliau sendiri terlibat dalam pengurusan jenazah sebelum ini membuka ruang memahami keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
“Saya pernah turun padang membantu mengurus jenazah dan mendapati sumbangan seperti ini sangat diperlukan, sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Sehubungan itu, kita menambah baik kit yang disumbangkan tahun ini supaya lebih lengkap dan berkualiti berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan tersebut dilakukan berdasarkan maklum balas pengguna bagi memastikan setiap kit benar-benar memenuhi keperluan serta memudahkan urusan pengurusan jenazah.
“Kita berusaha menyediakan kelengkapan yang lebih sempurna agar dapat membantu keluarga yang memerlukan dengan sebaiknya.
“Diharapkan sumbangan ini memberi manfaat kepada komuniti setempat dan terus dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan pihak masjid untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat keperluan tambahan bagi memastikan usaha kebajikan itu dapat diteruskan secara berterusan dan lebih menyeluruh.
