KOTA KINABALU, 12 Mei 2026 – Aktivis media sosial, Atan Leecas mengecam keras dakwaan penghinaan dan fitnah terhadap dua sahabat agung Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A dan Saidina Umar Al-Khattab R.A yang didakwa dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh dalam satu ceramah politik di Terengganu baru-baru ini.
Menurut Atan, tuduhan kononnya Saidina Abu Bakar R.A merupakan seorang “ceti” yang memeras orang miskin sebelum memeluk Islam adalah satu fitnah besar dan tidak mempunyai sebarang sandaran daripada hadis sahih, kitab muktabar mahupun athar ulama.
Katanya, Saidina Abu Bakar R.A terkenal sebagai seorang pedagang berjaya, jujur dan dermawan yang menggunakan hartanya untuk membantu Islam serta membebaskan golongan tertindas seperti Saidina Bilal bin Rabah R.A.
Beliau turut mengecam dakwaan kononnya Saidina Umar Al-Khattab R.A mempunyai “hobi zina” dan boleh mengambil isteri atau anak gadis sesiapa sahaja yang disukainya ketika di Mekah.
“Atan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai sangat jahat, zalim dan melampau kerana menuduh seorang sahabat Nabi SAW yang dijamin syurga tanpa sebarang bukti sahih.
“Tiada satu pun riwayat hadis sahih, kitab muktabar atau athar ulama yang menyokong dakwaan keji tersebut. Semua ini hanyalah cerita palsu dan fitnah jahat yang mencemarkan kemuliaan sahabat Rasulullah SAW,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata, Saidina Umar R.A dikenali sebagai simbol keadilan, keberanian dan ketegasan dalam Islam serta merupakan khalifah agung yang berjaya memperluaskan empayar Islam dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira agama atau bangsa.
Atan turut mengingatkan bahawa pentas ceramah politik bukan tempat untuk memfitnah para sahabat Nabi SAW atau menyebarkan cerita palsu demi meraih sokongan politik.
Katanya, ucapan seperti itu boleh mengelirukan masyarakat, mencetuskan kebencian terhadap tokoh-tokoh agung Islam dan memberi kesan buruk terhadap akidah umat Islam.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar laporan polis dibuat dan siasatan segera dijalankan terhadap ucapan berkenaan sekiranya benar berlaku penghinaan serta penyebaran fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW.
Atan turut menyeru semua pihak supaya menghentikan budaya politik melampau sehingga sanggup mempermainkan nama dan maruah sahabat Rasulullah SAW demi kepentingan politik. – DAKWAT RAKYAT POST
