SANDAKAN, 12 Mei 2026 – Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh agenda pembangunan Sabah secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi menerusi pelaksanaan 39 projek pembangunan strategik di Sandakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk TS Mustapha Sakmud berkata, keseluruhan projek tersebut melibatkan nilai RM2.17 bilion merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk infrastruktur jalan raya, bekalan air, pendidikan, keselamatan serta pemuliharaan alam sekitar.
Menurut beliau, bagi tahun 2026 sahaja, sejumlah RM213.32 juta telah diperuntukkan bagi membiayai pelaksanaan projek-projek berkenaan.
“Daripada keseluruhan projek tersebut, sebanyak 26 projek kini berada dalam fasa pelaksanaan, manakala 12 projek telah memasuki fasa pasca pelaksanaan dan satu projek telah siap sepenuhnya.
“Perkembangan positif ini mencerminkan tahap kemajuan pelaksanaan yang memberangsangkan serta keupayaan penyelarasan yang baik antara kementerian, agensi pelaksana dan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum bagi meningkatkan jaringan perhubungan dan mobiliti rakyat.
Selain itu, projek Loji Rawatan Kumbahan Sandakan turut dilaksanakan bagi memperkukuh sistem sanitasi bandar, selain pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Jeti Mawilla 2 untuk memperkasakan aspek keselamatan dan pertahanan. Turut diberi perhatian ialah penaiktarafan sistem bekalan air Sandakan bagi menjamin akses bekalan air yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk setempat.
Menurut Mustapha, majoriti projek yang dirancang kini direkodkan mengikut jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan. Katanya, perkembangan itu membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar memberi perhatian terhadap tuntutan pembangunan Sabah, malah terus menterjemahkannya melalui tindakan, pelaksanaan dan peruntukan yang nyata.
“Kerajaan akan terus memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekonomi wilayah,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
