TAWAU, 12 Mei – Wakil penduduk Ranggu, Vincent Ong tampil membuat laporan polis kedua berhubung penutupan semula laluan “Road Reserve / Simpanan Jalan Awam” yang menghubungkan kawasan Prima Ranggu ke Bandar Sri Indah, di sini.
Menurut beliau, laporan berkenaan turut diserahkan kepada beberapa agensi berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
Vincent berkata, berdasarkan surat rasmi yang pernah dirujuk daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Majlis Perbandaran Tawau, kawasan berkenaan dinyatakan sebagai simpanan jalan bagi kegunaan awam.
Bagaimanapun katanya, laluan tersebut kini dilaporkan telah ditutup semula sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya terutama melibatkan aspek keselamatan, kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan kepada orang awam.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, mengesahkan kedudukan sebenar serta menentukan pihak yang bertanggungjawab mengikut undang-undang dan prosedur yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera, telus dan profesional demi menjaga kepentingan serta keselamatan masyarakat di kawasan Tawau.
Menurutnya, isu itu dibangkitkan bukan untuk menyerang mana-mana pihak, sebaliknya demi kepentingan, keselamatan dan hak orang awam yang menggunakan laluan tersebut.
Tambah beliau, segala dokumen rasmi, laporan polis dan bukti berkaitan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk semakan dan tindakan lanjut.
