KOTA KINABALU: Penubuhan Sabah Bodyguard Specialist Association (SBSA) pada 1 April 2026 dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan industri pengawal peribadi di Sabah, khususnya dalam kalangan anak jati negeri itu yang terlibat dalam bidang keselamatan dan close protection.
Persatuan tersebut ditubuhkan sebagai platform rasmi bagi menghimpunkan pengamal kerjaya bodyguard yang terlibat dalam bidang keselamatan, pengiring rapat orang kenamaan (Close Protection Officer), keselamatan korporat serta pengurusan keselamatan profesional di Sabah.
SBSA memulakan langkah awal dengan keahlian seramai 100 ahli yang terdiri daripada pengamal bodyguard berpengalaman, bekas anggota keselamatan, pengiring peribadi sambilan serta individu aktif dalam industri keselamatan negeri.
Persatuan itu dipimpin Presidennya, Mohd Yusof Abdullah yang komited membawa hala tuju persatuan ke arah pembangunan profesionalisme, menjaga kebajikan ahli serta memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama pengamal industri bodyguard di Sabah.
Menurut beliau, penubuhan SBSA bukan sahaja bertujuan menyatukan komuniti bodyguard Sabah, malah menjadi medium menjaga kebajikan ahli, membuka peluang pembangunan kerjaya serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“SBSA diwujudkan untuk menjadi suara dan platform penyatuan kepada pengamal bodyguard anak jati Sabah. Selain menjaga kebajikan ahli, kami juga mahu melahirkan pengamal bodyguard yang profesional, beretika dan berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata, SBSA turut merancang pelbagai program bermanfaat termasuk aktiviti kemasyarakatan, latihan keselamatan, seminar profesionalisme serta kursus berkaitan industri pengawal peribadi.
Sebagai langkah permulaan, SBSA bersama M&J Global Training & Services merancang untuk menganjurkan Kursus Bodyguard / Close Protection Operation (CPO) di Sabah pada Mei 2026.
Pemilihan M&J Global Training & Services sebagai rakan strategik dan panel latihan dibuat berdasarkan pengalaman, pentauliahan serta pengiktirafan syarikat itu dalam bidang latihan bodyguard di Malaysia.
M&J Global dikenali sebagai antara penyedia latihan yang memberi penekanan kepada latihan berasaskan operasi sebenar, profesionalisme bodyguard, disiplin serta standard latihan selari dengan keperluan industri keselamatan semasa.
Kursus yang dirancang itu dijangka menjadi platform penting kepada anak jati Sabah yang berminat menceburi bidang bodyguard secara profesional, selain memberi peluang kepada pengamal sedia ada meningkatkan kemahiran dan kompetensi mereka.
Penubuhan SBSA dilihat sebagai perkembangan positif dalam memperkasakan industri bodyguard di Sabah serta membuka ruang kepada anak tempatan untuk terlibat secara lebih profesional dalam bidang keselamatan dan close protection.
Dengan semangat perpaduan serta hala tuju yang jelas, SBSA diyakini mampu menjadi persatuan yang berperanan besar dalam menjaga kepentingan, kebajikan serta masa depan pengamal bodyguard di Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
