imigresen – Hajiji
KOTA KINABALU, 13 Mei 2026 – Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri itu sehingga terdapat jaminan bahawa tiada penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah.
Keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri Sabah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS yang didakwa mempunyai elemen penghakisan kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah melalui aspek perundangan dan pengoperasian imigresen.
Menurut kenyataan kerajaan negeri, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk Sabah, sedangkan Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung terhadap AKPS selain melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].
Kerajaan Negeri Sabah turut mengesan wujud percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran serta kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu masuk negeri.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan pembentukan Malaysia di bawah Malaysia Agreement 1963 tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen kedua-dua negeri tersebut.
“Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga memperoleh persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan perlindungan kedudukan negeri Sabah dari sudut perlembagaan sentiasa terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
