KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas polis menemukan 53.37 gram dadah disyaki methamphetamine dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Kinuta, Jalan Sorob, di sini, pada 27 Ogos lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud kira-kira jam 12.15 tengah hari sebagai sebahagian daripada usaha membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Hasil pemeriksaan di rumah terbabit membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki methamphetamine atau syabu.
Dadah berkenaan dianggarkan seberat 53.37 gram dan mempunyai nilai sekitar RM5,337.
Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak polis menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menegaskan komitmen untuk terus memperhebatkan operasi membanteras kegiatan berkaitan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Polis turut mengingatkan masyarakat supaya bersama-sama memerangi ancaman dadah yang boleh memberi kesan buruk terhadap individu, keluarga dan generasi akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
