LAHAD DATU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menegaskan kerajaan Persekutuan akan terus komited memperkukuh gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia melalui pelbagai inisiatif bagi memperkasakan ekonomi rakyat dan pembangunan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pelancaran Jualan MADANI Koperasi anjuran Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad di Premis Coop Sari Mart, Taman Aman 3, Jalan Silam, di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan usahawan dan koperasi dalam usaha memperkukuh ekonomi rakyat, merangsang pembangunan luar bandar serta meningkatkan peluang keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, pelaksanaan Jualan MADANI Koperasi (JMK) mencerminkan komitmen kerajaan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan selain memperluaskan penglibatan koperasi dalam aktiviti ekonomi komuniti.
“Kerajaan akan terus menyokong program seperti ini agar lebih banyak koperasi dapat terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ewon turut melahirkan rasa gembira melihat perkembangan Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad yang baru didaftarkan di bawah SKM pada 13 Mac lalu namun sudah menunjukkan perkembangan positif dalam sektor peruncitan dan pemborongan keperluan asas.
Beliau berkata penglibatan koperasi itu dalam penjualan barangan seperti minyak masak dan beras bukan sahaja membantu memenuhi keperluan rakyat malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Katanya lagi, beliau turut menyambut baik perancangan koperasi berkenaan untuk menceburi bidang pembangunan dan pengurusan tanah ladang serta industri asas tani yang dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang di daerah itu.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad, Suhaimie Haji Sari berkata perniagaan keluarga mereka mula beroperasi sejak 2 Mei 2006 sebagai sebuah kedai runcit sebelum berkembang menjadi pemborong dan peruncit keperluan asas.
Beliau berkata pengalaman dan bimbingan daripada Ahli Lembaga Pengarah Institusi Koperasi Malaysia, Basari Sarkun banyak membantu memperkukuhkan pengurusan dan hala tuju koperasi berkenaan.
“Selain itu, kami juga amat menghargai sokongan dan sumbangan dana daripada Datuk Ewon Benedick yang membantu perkembangan koperasi ini,” katanya.
Turut hadir Pengarah SKM Sabah, Awang Ruslli Mohammad; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan SKM Sabah, Marni Sulaiman; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Lahad Datu, Tzahrin Mohd Tahir serta wakil agensi kerajaan negeri dan daerah.
