SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Team Task Force Balai Polis Seguntur Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram dalam satu operasi di kawasan Jalan Weng Sing, Sungai Manila, di sini, Sabtu lalu.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 1.20 tengah hari itu berjaya menahan dua lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan diesel bersubsidi secara tidak sah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan sebuah lori serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan termasuk skid tank dan peralatan pemindahan minyak.
“Sebanyak 14,200 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan anggaran nilai sekitar RM69,154 jika dijual di pasaran gelap.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori, skid tank, peralatan dan minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM194,354,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala semua barang kes turut dirampas untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi serta keselamatan negara.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan kepada pihak polis bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
