KOTA KINABALU: Kenyataan dikeluarkan Atan Leecas menerusi Dari Meja Media ALO mencetuskan persoalan mengenai hubungan politik antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Warisan (WARISAN) di Sabah.
Dalam kenyataan bertarikh 18 Mei 2026 itu, beliau mempersoalkan sama ada wujud usaha kerjasama politik antara kedua-dua parti susulan kemunculan beberapa pemimpin mereka dalam program rasmi kerajaan kebelakangan ini.
Menurut Atan Leecas, rakyat Sabah kini mula memerhati perkembangan politik semasa termasuk dakwaan kononnya terdapat rundingan belakang tabir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.
Beliau turut membangkitkan hubungan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa dilihat semakin mesra walaupun kedua-dua parti sebelum ini sering saling mengkritik.
Atan Leecas berkata, rakyat Sabah berhak bertanya sama ada kemesraan politik yang dipamerkan itu memberi gambaran kemungkinan wujud kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kalau benar tiada agenda politik, maka nyatakan secara terbuka. Jangan buat rakyat tertanya-tanya. Jangan bermain teka-teki politik,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut menggesa kepimpinan STAR tampil menjelaskan pendirian mereka sama ada kekal bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau sedang membuka ruang kerjasama baharu bersama WARISAN.
Dalam masa sama, Atan Leecas turut mengkritik WARISAN dengan mendakwa parti itu kini semakin terdesak selepas gagal membentuk kerajaan negeri.
“Rakyat Sabah bukan buta. Rakyat Sabah bukan naif. Rakyat tahu membaca bahasa politik,” katanya lagi.
Menurut beliau, rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai perkembangan politik dan tidak mahu melihat sebarang bentuk “politik tebuk atap” atau pengkhianatan mandat rakyat.
Kenyataan itu turut menegaskan Sabah memerlukan kestabilan politik, kejujuran dan kesetiaan dalam kerajaan demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri. – DAKWAT RAKYAT POST
