SANDAKAN, 22 Mei 2026 – Malaysia dan Australia terus memperkukuh kerjasama keselamatan maritim menerusi Operasi Redback Siri Ke-22 yang berlangsung di Sandakan buat pertama kali.
Operasi bersama itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras penyeludupan migran, jenayah rentas sempadan dan aktiviti perikanan haram di perairan Sabah.
Majlis penutupan operasi disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Mohd Zawawi Abdullah.
Menurut beliau, Sandakan dipilih sebagai lokasi operasi kerana kedudukannya yang strategik dan berhampiran Filipina, sekali gus menjadi antara kawasan penting pemantauan keselamatan perairan negara.
Katanya, operasi itu turut melibatkan lima aset Maritim Malaysia termasuk dua kapal dan tiga bot ronda selain pelaksanaan latihan kompetensi serta perkongsian risikan antara agensi penguat kuasa.
“Untuk Redback pada kali ini, pada kali yang ke-22 yang dilaksanakan di perairan Sandakan yang mana seperti yang saya maklumkan tadi, ianya merupakan kali pertama Sandakan ini dipilih berdasarkan kepada geografi Sandakan sendiri yang berhampiran dengan negara jiran kita iaitu Filipina dan ianya telah dipilih untuk kita melaksanakan Operasi Redback buat kali pertamanya di luar daripada Semenanjung,” katanya.
Mohd Zawawi berkata operasi berkenaan memberi tumpuan kepada penyeludupan migran, barang kawalan, jenayah rentas sempadan serta aktiviti perikanan haram.
Beliau berkata sindiket penyeludupan sentiasa mengubah lokasi pendaratan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk menggunakan kawasan terpencil di pesisir pantai dan laluan laut yang sukar dipantau.
Katanya, kerjasama dengan komuniti nelayan amat penting kerana mereka menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut.
Sementara itu, Kaunselor Australian Border Force ke Malaysia merangkap Ketua Delegasi ABF, Brooke Leung berkata Operasi Redback berjaya memperkukuh saluran komunikasi serta hubungan operasi antara Malaysia dan Australia.
Beliau berkata operasi itu juga menjadi platform mengenal pasti taktik baharu sindiket jenayah rentas negara termasuk penyeludupan migran dan barang terlarang.
“I think the message is that ABF and MMEA and Australia and Malaysia are committed to working on making sure that we can disrupt trans-border and transnational crime, preferably before it happens,” katanya.
Menurut terjemahan kenyataan itu, mesej utama ialah ABF, Maritim Malaysia serta Australia dan Malaysia komited untuk bekerjasama bagi memastikan jenayah rentas sempadan dan rentas negara dapat dibanteras sebelum ia berlaku.
Brooke berkata perkongsian maklumat serta kerjasama operasi yang diwujudkan menerusi Operasi Redback akan membantu kedua-dua negara kekal selangkah di hadapan sindiket jenayah rentas sempadan.
Operasi Redback Siri Ke-22 menghimpunkan pegawai penguat kuasa Malaysia dan Australia sepanjang minggu ini dalam usaha memperkukuh keselamatan maritim di rantau ini. – DAKWAT RAKYAT POST
