KOTA KINABALU: Syarikat penyedia perkhidmatan pelancaran angkasa dari Rusia, Glavkosmos menyatakan hasrat untuk membina sebuah pelabuhan angkasa di Sabah.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Anifah Aman selepas menerima kunjungan delegasi Glavkosmos yang diketuai Ketua Pengarahnya, Anton Semin, di sini, pagi semalam.
Menurut beliau, kunjungan itu merupakan susulan kepada lawatan pertama Glavkosmos ke Qhazanah Sabah pada Januari lalu.
Katanya, selepas perbincangan susulan itu, delegasi berkenaan turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun bagi membentangkan secara rasmi hasrat Glavkosmos untuk membangunkan pelabuhan angkasa di negeri ini.
Glavkosmos yang merupakan anak syarikat Roscosmos mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri angkasa dan sedang meneroka potensi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui Qhazanah Sabah Berhad.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa pemandu peringkat tinggi bagi meneliti kebolehlaksanaan, aspek teknikal serta model kewangan projek pelabuhan angkasa itu.
Datuk Seri Anifah berharap perbincangan tersebut dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada Sabah pada masa depan. – DAKWAT RAKYAT POST
