LAHAD DATU: Kaedah pertanian berasaskan Sistem Agroforestri Sintropik yang menggabungkan pelbagai tanaman dalam satu ekosistem semakin mendapat perhatian sebagai pendekatan mampan untuk memulihkan tanah terdegradasi serta meningkatkan biodiversiti.
Inisiatif yang bermula pada 2023 itu diterajui oleh warga Switzerland, Simon Werren bersama Itisha Ismail menerusi inisiatif HAK’s World dengan kerjasama pemilik tanah, Ho, yang turut mengintegrasikan koloni lebah kelulut dalam ekosistem ladang berkenaan.
Projek itu memberi tumpuan kepada penerokaan kaedah menanam kelapa sawit, koko dan kopi secara serentak dalam sistem pertanian yang lebih pelbagai dan mesra alam.
Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Sabah menganjurkan sesi lawatan dan perkongsian ilmu di ladang sintropik yang terletak di Jalan Langsat, Lahad Datu bagi memberi peluang kepada pegawai kerajaan, komuniti setempat dan organisasi rakan untuk melihat sendiri pelaksanaan sistem berkenaan.
Antara yang hadir ialah Dr Abdul Hamid dari Bahagian Perancangan Sektor Hutan, Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Pegawai Perhutanan Daerah Ulu Segama-Malua, Jackly Ambrose, serta Rosli Jukrana daripada NGO Forever Sabah.
Turut menyertai program itu ialah anggota dan kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah, Ahli Lembaga dan anggota Koperasi Mukim Segama Lahad Datu Berhad (KOPSA Bhd) serta 30 penduduk dari Kampung Tawaiyari, Kampung Upak, Kampung Taliwas dan Kampung Bukit Belachon.
Menurut Simon, kawasan tersebut pada asalnya terdiri daripada tanah liat yang kurang subur dan terdedah kepada hakisan sehingga menyukarkan aktiviti pertanian ketika projek dimulakan tiga tahun lalu.
Katanya, kawasan itu sebelum ini ditanam dengan pokok kelapa sebelum usaha pemulihan tanah dilakukan menerusi penggunaan sungkupan, pengekalan kelembapan dan penutupan tanah secara semula jadi.
“Kami mengaplikasikan prinsip pertanian sintropik yang diinspirasikan oleh perintis agroforestri Brazil, Ernst Götsch, yang menekankan kerjasama dengan ekosistem semula jadi berbanding bergantung kepada campur tangan pertanian secara intensif.
“Sistem ini meniru keseimbangan yang terdapat dalam hutan, di mana tanah sentiasa dilindungi oleh bahan organik seperti daun gugur, buah-buahan dan sisa tumbuhan yang mereput,” katanya.
Beliau berkata, bahan biojisim organik seperti tumbuhan kekacang yang dicincang dan sisa tanaman digunakan secara berlapis bagi mengekalkan kelembapan, mengurangkan hakisan serta merangsang aktiviti biologi tanah.
Menurutnya, proses semula jadi itu berjaya mengubah struktur tanah liat yang padat menjadi lebih gelap, lembut dan sesuai untuk menyokong pelbagai jenis tanaman.
Simon berkata, biodiversiti merupakan elemen utama dalam sistem tersebut dengan serangga, kulat dan mikroorganisma memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pertanian yang lebih sihat.
Beliau menjelaskan, plot eksperimen turut dibangunkan bagi menguji sama ada kelapa sawit boleh ditanam bersama tanaman komersial lain seperti koko dan kopi, berbanding amalan monokultur yang lazim digunakan.
“Setakat ini, kami merekodkan hasil yang memberangsangkan. Pokok sawit ditanam mengikut jarak konvensional manakala koko dan kopi ditanam di antara barisan sawit untuk mewujudkan ekosistem berlapis seperti keadaan hutan semula jadi,” katanya.
Menurut Simon, tiada penggunaan racun perosak atau baja kimia di plot sintropik tersebut kerana sistem itu bergantung kepada keseimbangan ekologi dan proses pemulihan tanah secara semula jadi.
Beliau percaya kepelbagaian biologi yang lebih tinggi dapat membantu mengawal perosak secara semula jadi melalui interaksi pelbagai spesies dalam ekosistem yang sama.
Dalam masa sama, hasil pertanian yang diperoleh turut digunakan untuk menyokong usaha pemulihan hutan di Bukit Piton.
Katanya, anak pokok yang dibeli menerusi program itu digunakan bagi memulihkan kawasan hutan terdegradasi serta menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar, khususnya orang utan yang terancam.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada misi lebih besar untuk menghasilkan tanaman secara mampan sambil memulihkan hutan dan memperkukuh daya tahan alam sekitar di Sabah,” katanya.
Sementara itu, peserta lawatan dari Kampung Tawaiyari, Ringkot Sarindai berkata, program berkenaan memberi banyak pendedahan mengenai kaedah penanaman vanila, kopi dan tanaman lain.
Beliau berkata, pendekatan yang menggabungkan pokok sawit dengan tanaman lain sangat menarik dan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai sistem pertanian tersebut.
Seorang lagi peserta dari Kampung Upak, Andrew Lumansau berkata, lawatan itu membuka peluang untuk mempelajari teknik penanaman tanpa penggunaan baja kimia.
Menurutnya, pendekatan tersebut sesuai diterapkan oleh pekebun kecil terutama ketika harga baja semakin meningkat.
“Saya tertarik dengan kejayaan Simon meningkatkan kesuburan tanah yang asalnya tanah liat hanya melalui penggunaan kompos dan kaedah semula jadi,” katanya.
