MANILA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan keselamatan maritim serantau menerusi penyertaan dalam 5th ASEAN Coast Guard Forum High-Level Meeting (5th ACF HLM) yang berlangsung di Manila, Filipina, pada 4 hingga 5 Jun 2026.
Delegasi Maritim Malaysia diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah bersama pegawai kanan agensi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Philippine Coast Guard (PCG) itu menghimpunkan wakil agensi penguatkuasaan maritim negara-negara ASEAN bagi membincangkan hala tuju penubuhan ASEAN Coast Guard Forum (ACF) sebagai platform kerjasama rasmi untuk memperkukuh aspek keselamatan, keselamatan maritim serta penguatkuasaan undang-undang di rantau ini.
Antara pencapaian utama mesyuarat tersebut ialah persetujuan negara-negara anggota ASEAN untuk memuktamadkan dokumen Concept Paper, Terms of Reference (TOR) dan Joint Declaration sebagai asas kepada penubuhan serta pengiktirafan institusi ACF dalam kerangka ASEAN.
Kesemua dokumen berkenaan akan dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.
Mesyuarat turut mencapai persetujuan untuk meneruskan usaha mendapatkan pengiktirafan ACF sebagai Subsidiary Body di bawah ASEAN Senior Officials’ Meeting (SOM), sekali gus memperkukuh kedudukan forum tersebut dalam struktur rasmi ASEAN.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama strategik dengan negara-negara rakan dialog ASEAN serta organisasi antarabangsa bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti ACF pada masa hadapan selaras dengan kepentingan bersama negara-negara anggota.
Dalam perkembangan sama, Maritim Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah dan mempengerusikan 6th ASEAN Coast Guard Forum High-Level Meeting (6th ACF HLM) pada tahun 2027 di Kuala Lumpur.
Cadangan tersebut menerima sokongan dan maklum balas positif daripada semua negara anggota yang hadir, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap peranan Malaysia dalam menerajui kerjasama maritim serantau.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam mesyuarat itu membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh jaringan kerjasama maritim ASEAN, meningkatkan perkongsian maklumat serta memperkasa keupayaan penguatkuasaan maritim bagi menghadapi cabaran keselamatan dan ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks. – DAKWAT RAKYAT POST
