Cianjur, Indonesia: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang tanpa jejak selama hampir tiga tahun mengejutkan keluarganya apabila ditemui masih hidup dalam keadaan lemah dan tidak terurus di lereng sebuah gunung di Jawa Barat, Indonesia, baru-baru ini, lapor Kompas.
Ayi Solehudin, 45, ditemukan penduduk pada 25 Mei lalu ketika mereka memeriksa saluran air di kawasan hutan Gunung Halimun Salak, Kabupaten Sukabumi.
Mangsa ditemukan sedang duduk di atas batu berlumut pada ketinggian kira-kira 1,000 meter berhampiran kawasan sungai di wilayah Cipari Girang, Desa Cisaat.
Keadaan Ayi ketika ditemui mengundang perhatian ramai apabila tubuhnya dilaporkan terlalu kurus, kelihatan tidak bermaya serta sukar berkomunikasi.
Sukarelawan Ambulans Sukabumi Bersatu (ASB), Muh Irfan Maulana berkata, mangsa juga tidak mampu berjalan sendiri dan kelihatan terkejut apabila dikerumuni orang ramai.
“Ketika ditemui, dia sangat lemah dan sukar untuk berkomunikasi.
“Kami terpaksa membawanya turun menggunakan tandu yang diperbuat daripada kayu dan kain sarung,” katanya.
Operasi menyelamat Ayi kemudian tular di media sosial selepas rakaman proses membawa turun mangsa dari kawasan hutan berkenaan dikongsi secara meluas.
Ahli keluarga mangsa kemudian datang menjemput Ayi dan mengesahkan lelaki itu dilaporkan hilang tanpa sebarang petunjuk hampir tiga tahun lalu.
Keluarganya sebelum ini dikatakan sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesannya, namun semua pencarian berakhir dengan kegagalan.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
