MUAR: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menumpaskan sindiket penyeludupan dadah bernilai lebih RM57.15 juta menerusi ‘Op Taring Landai – Intra/Inter Agensi’, semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Parit Amat Laut, di sini.
Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal, berkata setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mengesan bot dan beberapa kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan sebelum mendapati beberapa individu memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot berkenaan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Bertindak atas pemerhatian itu, pasukan serbuan segera menyerbu bot terbabit dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun yang mana kedua-duanya disyaki berperanan sebagai penghantar.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh, polis menemui guni dan plastik hitam disyaki berisi dadah yang disembunyikan di dalam bot serta bonet kenderaan terbabit.
“Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM57,150,900 yang terdiri daripada 517 bungkusan plastik bertulisan ‘Guanyinwang’ disyaki dadah jenis syabu seberat 549 kilogram serta 191,268 unit pil ekstasi dan 4,000 katrij berisi cecair Yakuza,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Noor Azman berkata, turut disita, tujuh kereta bernilai RM204,487 serta sampan jenis fiber dan dua unit enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda (HP) bernilai RM70,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah mencecah lebih RM57.42 juta.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kredit sumber: Berita Harian
