KUALA LUMPUR, 6 Jun 2026 – Seramai 78 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dikenali sebagai ‘Ops Sapu’ di sekitar Jalan Klang Lama, hari ini.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) itu dilancarkan susulan aduan awam dan hasil risikan berterusan pihak berkuasa berhubung kehadiran ramai warga asing di kawasan berkenaan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut JIM WPKL, operasi tersebut menyasarkan beberapa premis perniagaan dan kawasan penempatan yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar, sepasukan pegawai penguat kuasa telah membuat kepungan strategik di lokasi sasaran bagi menutup semua laluan keluar masuk dan mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri oleh individu yang diperiksa.
Pemeriksaan dokumen pengenalan diri serta semakan biometrik dilakukan ke atas setiap Orang Kena Periksa (OKA) di lokasi operasi. Dalam serbuan itu, terdapat beberapa cubaan oleh warga asing untuk bersembunyi di ruang sempit bagi mengelakkan ditahan, namun tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menggagalkan usaha tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 78 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah sebelum diklasifikasikan sebagai Orang Kena Tangkap (OKT).
Mereka terdiri daripada warganegara Indonesia, Myanmar dan India yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram di negara ini.
Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, JIM WPKL menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan dan pemantauan terhadap PATI akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa tanpa kompromi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
Jabatan itu turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu, pemilik premis atau majikan yang didapati melindungi, menggaji atau membantu PATI supaya tidak melanggar undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
