SANDAKAN: Pembinaan Pusat Islam Sabah yang terletak di Batu 7, Kampung Sungai Kayu kini menghampiri fasa akhir apabila projek berkenaan dilaporkan telah mencapai hampir 90 peratus siap.
Perkembangan itu dimaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman ketika beliau mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan pembinaan kompleks berkenaan semalam.
Dalam lawatan yang berlangsung hampir dua jam itu, Tun Musa telah diberikan taklimat terperinci mengenai status semasa projek oleh Juruperunding, Haji Mir Zafriz Datuk Haji Mior Zawari.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan Pusat Islam Sabah kini berjalan mengikut perancangan dengan tahap kemajuan projek menghampiri 90 peratus.
Apabila siap sepenuhnya kelak, pusat berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sebuah masjid, dewan serbaguna, pusat tahfiz al-Quran serta kemudahan sokongan lain yang dirancang bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson; serta beberapa pegawai kanan Kerajaan Negeri.
Pusat Islam Sabah yang mula dibina pada tahun 2018 itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di daerah Sandakan menerusi konsep pembangunan yang menggabungkan pelbagai fungsi dalam satu kompleks.
Selain berperanan sebagai pusat perkembangan syiar Islam dan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kemudahan berkenaan turut dijangka berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan utama di daerah itu selepas siap sepenuhnya.
Dalam lawatan berkenaan, Tun Musa turut memberikan perhatian terhadap aspek penyiapan projek dan menasihatkan pihak kontraktor agar memastikan pembinaan dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau menekankan kepentingan projek tersebut memandangkan masyarakat di Sandakan telah lama menantikan kemudahan berkenaan untuk dimanfaatkan, khususnya dalam memperkukuh aktiviti keagamaan dan pembangunan komuniti setempat.
Pusat Islam Sabah dijangka memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai institusi yang memperkasa syiar Islam di negeri ini, malah sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan sektor pelancongan berasaskan warisan Islam di Sandakan. – DAKWAT RAKYAT POST
