PENAMPANG, 10 Jun 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas disyaki memiliki pelbagai spesies hidupan liar tanpa permit yang sah dalam satu serbuan di Kampung Nambazan, di sini, hari ini.
Tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang susulan maklumat yang diterima daripada orang awam.
Dalam serbuan tersebut, pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan permit pemilikan hidupan liar yang sah sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Antara hidupan liar yang ditemui dan dirampas ialah seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor Bornean Crested Fireback, tiga ekor Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya serta seekor ular sawa batik.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM47,500.
Kes kini disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi mengenal pasti sama ada terdapat elemen kesalahan lain berkaitan pemilikan dan perdagangan hidupan liar secara haram.
Sementara itu, PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa berkaitan dalam usaha membanteras kegiatan pemilikan dan perdagangan hidupan liar secara haram di negeri ini.
Menurut pasukan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan pemuliharaan hidupan liar demi memastikan khazanah alam semula jadi negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Orang ramai turut disaran supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah terhadap hidupan liar serta melindungi biodiversiti Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
