TOKYO: Malaysia dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pelaburan berteknologi tinggi, termasuk teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau dengan rakan sejawatannya, Sanae Takaichi, bagi memastikan Malaysia terus menerima kerjasama dan sokongan daripada kerajaan serta syarikat utama Jepun dalam mempercepat pembangunan sektor berkenaan.
Beliau berkata, selain hubungan perdagangan dan pelaburan, kedua-dua negara turut memberi penekanan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi baharu seperti teknologi kuantum yang kini muncul sebagai antara bidang strategik baharu di peringkat global.
“Soal kuantum yang ditekankan oleh IBM ini sekarang. Dan ini sangat-sangat penting sepertimana kita tekankan soal AI dulu.
“Ia satu bidang yang baru yang telah kelihatan sangat ketara tumpuan dan sangat teknikal dan memerlukan perincian dari segi kejuruteraan peringkat tinggi dan harus diberikan tumpuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup di sini hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Jepun sejak Isnin lalu bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Justeru, katanya, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Majlis Kuantum Negara bagi menyelaras pembangunan teknologi berkenaan secara lebih tersusun.
Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi oleh kementerian berkaitan sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Tambah Perdana Menteri, syarikat teknologi antarabangsa, IBM, yang ditemui dalam sesi bersemuka sebelum ini dan mempunyai operasi di beberapa negara utama seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Singapura, kini memilih Malaysia sebagai lokasi bagi pengembangan inisiatif berkaitan teknologi kuantum.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kini lebih cenderung menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memindahkan teknologi serta meningkatkan keupayaan tempatan berbanding menerima semua bentuk pelaburan tanpa penilaian strategik.
“Tentunya kita ada menentukan beberapa keutamaan dari sudut dagang, dari sudut perjanjian perdagangan dan memastikan Jepun itu dalam beberapa pandangan dari sudut terutama perdagangan dan ekonomi, sealiran, sefaham dengan kita.
“Setakat ini, sepertimana kita tahu melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) utamanya, kita telah meningkatkan nilai perdagangan negara kita bagi umpama tahun 2025 yang 2,800 projek, RM142.96 bilion. Tapi yang penting ialah peluang pekerjaan, lebih 340,000 peluang pekerjaan keseluruhannya dari segi nilai pelaburan yang tinggi ini,” katanya.
Selain itu, perkembangan lain yang diketengahkan sepanjang lawatan itu termasuk usaha memperkukuh jaringan penyelidikan dan pembangunan teknologi antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Jepun.
Beliau berkata, penyelidikan AI yang sebelum ini melibatkan Universiti Tokyo dan Universiti Malaya bakal diperluaskan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kredit sumber: Buletin TV3
