TAWAU, 11 Jun 2026 – Penganjuran Seminar Kenegaraan dan Integriti peringkat Komuniti Daerah Tawau berjaya menjadi medan perkongsian ilmu dalam usaha memperkukuh semangat cintakan negara, memantapkan perpaduan serta membudayakan integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.
Program hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri Sabah itu menghimpunkan pelbagai lapisan kepimpinan akar umbi dari seluruh daerah Tawau.
Antara yang hadir ialah Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Haji Awang Kadin Tang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Ketua Cawangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau, Penolong Pesuruhjaya Richard Hii Ding Yin; selain wakil AKM, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua-Ketua Anak Negeri serta pemimpin komuniti.
Ketika menyampaikan ucapan penangguhan, Datuk Awang Kadin menyifatkan sambutan yang diterima terhadap seminar berkenaan sebagai amat memberangsangkan, dengan peserta menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pelbagai sesi yang dijalankan.
Beliau berkata, pengisian seminar memberi ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai tanggungjawab memupuk semangat patriotisme, memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai latar belakang serta menjadikan integriti sebagai amalan dalam melaksanakan amanah di peringkat komuniti.
Menurutnya, pendedahan yang diberikan oleh para penceramah turut menyentuh aspek tadbir urus yang berkesan, kepimpinan berteraskan etika dan tanggungjawab pemimpin akar umbi dalam menyalurkan dasar serta aspirasi kerajaan kepada rakyat.
“Pemimpin komuniti memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat. Justeru, nilai integriti dan semangat kenegaraan perlu sentiasa diperkukuhkan dalam pelaksanaan tugas masing-masing,” katanya.
Beliau turut berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang seminar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, sekali gus melahirkan barisan pemimpin komuniti yang lebih berwibawa dan berdaya saing.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, para penceramah, urus setia serta semua peserta yang menjayakan program tersebut melalui komitmen dan kerjasama yang diberikan.
Seminar itu turut dilihat sebagai inisiatif penting dalam memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap aspirasi Malaysia Madani, selain memperkasakan peranan kepimpinan akar umbi dalam mendukung agenda pembangunan negeri dan negara yang berlandaskan prinsip integriti, perpaduan dan kesejahteraan rakyat. – DAKWAT RAKYAT POST
