BATU GAJAH – Ibarat cinta sehidup semati, seorang wanita warga emas menghembuskan nafas terakhir tidak sampai 24 jam selepas menghantar jenazah suaminya.
Itulah kisah pasangan warga emas, Alias Panjang, 84, dan Roezah Abdul Hamid, 78, dari Kampung Sentang di sini yang menghembuskan nafas minggu lalu.
Kisah menyayat hati itu dikongsikan seorang cucu, Haziq Azmin menerusi aplikasi Threads selepas datuknya meninggal dunia pada jam 7.56 malam, 26 Ogos lalu, sebelum neneknya pula menghembuskan nafas terakhir kira-kira 20 jam kemudian.
Menurut Haziq, datuknya terlebih dahulu dikebumikan sekitar jam 11 pagi pada 27 Ogos selepas keluarga dimaklumkan doktor mengenai keadaan kesihatannya yang kritikal.
“Pagi itu, opah tengok atuk dimasukkan ke dalam liang lahad dan ditanam. Siap siram kubur atuk lagi dan sempat berbual dengan saudara-mara selepas selesai pengebumian.
“Ketika opah mencium jenazah atuk, opah sempat berkata, ‘bila nak jumpa lagi ni bang, nanti kita jumpa ya’. Tidak sangka secepat itu opah pergi,” katanya menerusi aplikasi media sosial berkenaan.
Haziq berkata, neneknya yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum itu tiba-tiba tidak berdaya untuk bangun ketika mahu mandi kira-kira jam 3.50 petang pada hari sama.
Katanya, seorang ibu saudaranya yang menyedari keadaan neneknya yang kelihatan lain daripada biasa kemudian mendapatinya sukar bernafas sebelum neneknya menghembuskan nafas terakhir.
“Memang tidak dijangka oleh kami sekeluarga. Opah tidak ada sakit apa-apa dan pagi itu pun opah masih menguruskan banyak perkara untuk pengebumian atuk.
“Orang yang menguruskan kubur pun macam tidak percaya kerana selalunya kematian pasangan berlaku dua atau tiga hari selepas pemergian pasangan, tetapi pemergian opah tidak sampai 24 jam,” katanya.
Haziq berkata, pemergian kedua-dua insan yang menjaganya sejak kecil itu meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya sekeluarga.
“Pagi itu kami tengok opah uruskan pengebumian atuk, tetapi petangnya opah pula pergi ikut atuk. Aku masih tidak boleh proses apa yang berlaku.
“Semoga arwah opah dan atuk ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kita jumpa di sana ya, opah, atuk,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang simpati warganet yang mendoakan agar pasangan berkenaan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan menghadapi kehilangan dua insan tersayang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Changkat Belengkor, Musa Mansor yang dihubungi Sinar Harian turut mengakui terkesan dengan situasi berkenaan.
Dia menyaksikan Roezah berkerusi roda menghantar jenazah suaminya ke tanah perkuburan berkenaan sebelum beberapa jam dimaklumkan wanita itu pula meninggal dunia.
“Sebenar ceritanya dalam satu malam itu dua orang sekali suami isteri meninggal dunia. Kita doakan pasangan sehati sejiwa ini ditempatkan bersama orang-orang beriman.
“Saya jadi penggali kubur dah 23 tahun, ini kali pertama berlaku dan mungkin ini ujian ALLAH,” katanya.
Kredit sumber: Sinar Harian
