BEAUFORT: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil langkah baharu dalam memperkukuh industri hiliran getah negeri menerusi pengeluaran bantal berasaskan lateks tempatan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 120,000 pekebun kecil getah di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu bertujuan menambah nilai lateks yang dihasilkan di Sabah yang sebelum ini kebanyakannya dieksport ke Johor untuk kegunaan industri sarung tangan.
Menurut beliau, pihak pengurusan LIGS telah mengubah suai kilang sedia ada di Beaufort menjadi kemudahan memproses bantal yang diperbuat sepenuhnya daripada lateks Sabah.
“Tujuan utama projek ini adalah untuk menambah nilai lateks yang kita hasilkan di Sabah. Sebelum ini, lateks kita dieksport secara langsung ke Johor, namun selepas membuat penilaian, LIGS mendapati pemprosesan di negeri ini mampu meningkatkan nilai produk dan secara langsung menambah harga pasaran lateks kepada pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang pemprosesan bantal lateks LIGS di Beaufort, hari ini.
Jamawi memaklumkan, kilang berkenaan telah memulakan pengeluaran pertamanya pada 29 Mei lalu dan kini beroperasi sepenuhnya dengan kapasiti pengeluaran sehingga 400 bantal sehari bagi operasi selama lapan jam.
Menurutnya, kapasiti tersebut berpotensi ditingkatkan sekiranya permintaan pasaran terus bertambah pada masa hadapan.
Beliau yakin usaha yang diterajui LIGS itu mampu membuka lembaran baharu kepada industri getah Sabah, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negeri ini.
Katanya, bantal lateks keluaran LIGS juga berpotensi bersaing dengan produk import yang kini dijual pada harga sekitar RM399 hingga RM400 seunit.
“Kita mahu menawarkan produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan. Yang penting, ada pulangan kepada pekebun kecil dan pada masa sama pengguna memperoleh produk yang berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, sisa pemotongan lateks yang tidak digunakan turut diproses menjadi patung Proboscis Monkey sebagai produk cenderamata tempatan.
Menurut beliau, produk tersebut berpotensi dipromosikan sempena Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Beliau berkata, sekiranya produk berkenaan mendapat sambutan dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan, ia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Jamawi turut memaklumkan bahawa Sabah mempunyai kira-kira 500,000 ekar tanaman getah yang diusahakan oleh lebih 120,000 pekebun kecil, dengan daerah Tenom merekodkan keluasan tanaman getah terbesar di negeri ini.
“Golongan inilah yang perlu kita bantu. Hari ini harga getah juga menunjukkan peningkatan kepada sekitar RM10 sekilogram berbanding sekitar RM7 beberapa bulan lalu dan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada pekebun getah di luar bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya merancang memperluaskan industri hiliran getah menerusi pembangunan fasa kedua yang berpotensi dilaksanakan di Tenom dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan kejayaan projek di Beaufort.
Turut hadir Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr. Ramle Haji Kasin; serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey. – DAKWAT RAKYAT POST
