LAWAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di tapak pembinaan Northern Coastal Highway di sini selepas pemantauan hari ketiga yang dijalankan Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat) menunjukkan peningkatan bacaan tahap risiko di lokasi kejadian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, pemantauan tersebut dilaksanakan susulan penemuan gas yang keluar dari tanah selepas pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja penggerudian (drilling) pada anggaran kedalaman 45 meter di tapak pembinaan berkenaan.
Pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama anggota BBP Lawas tiba di lokasi pada jam 8.58 pagi bagi menjalankan pemantauan dan penilaian risiko.
Pada jam 9.15 pagi, anggota bertugas melakukan penilaian awal (size-up) serta membuat persediaan peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tiga siri bacaan pemantauan gas.
Bacaan pertama yang direkodkan pada jam 9.22 pagi mendapati tiada pengesanan melalui Colourmetric Sampling Pump (Tulane), manakala bacaan menggunakan alat pengesan empat gas (GFG) menunjukkan paras oksigen (O₂) sebanyak 20.9 peratus, hidrogen sulfida (H₂S) 0.0 bahagian per juta (ppm), karbon dioksida (CO₂) 0.0 peratus dan Lower Explosive Limit (LEL) 0.0 peratus.
Bacaan kedua pada jam 10.39 pagi juga tidak menunjukkan sebarang pengesanan melalui Colourmetric Sampling Pump. Namun, alat GFG merekodkan O₂ sebanyak 21.8 peratus, H₂S 0.0 ppm, CO₂ 0.0 peratus dan peningkatan LEL kepada 10 peratus. Ujian kertas litmus turut menunjukkan perubahan warna daripada merah kepada biru dengan bacaan pH 8.
Sementara itu, bacaan ketiga pada jam 11.08 pagi menunjukkan peningkatan ketara apabila alat GFG merekodkan O₂ sebanyak 18.2 peratus, H₂S 0.2 ppm, CO₂ 0.0 peratus dan LEL meningkat kepada 100 peratus.
Hasil pemantauan oleh Pasukan Hazmat Zon Bintulu mengesahkan kehadiran gas metana berhampiran lubang penggerudian berdasarkan bacaan LEL yang mencapai tahap maksimum, sekali gus menunjukkan risiko keselamatan yang tinggi.
Bagaimanapun, pemantauan yang dijalankan dalam radius lima meter di sekitar kawasan berkenaan mendapati bacaan LEL adalah sifar peratus.
Sehubungan itu, pihak Hazmat mengesyorkan agar kawasan berkenaan ditutup sementara dan tiada sebarang aktiviti dijalankan di lokasi tersebut bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Menurut JBPM Sarawak, khidmat nasihat serta pengesahan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia turut dimaklumkan bagi tindakan lanjut.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi yang tamat pada jam 11.30 pagi itu melibatkan seramai 11 anggota, terdiri daripada tujuh anggota BBP Lawas dan empat anggota Pasukan Hazmat. Tiga buah kenderaan operasi digunakan iaitu sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah Triton.
Turut berada di lokasi ialah wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Natural Resources and Environment Board (NREB), Pejabat Daerah Lawas, kontraktor projek serta MRSB.
Sifat gas metana yang tidak berwarna, tidak berbau dan mudah terbakar menjadikannya berpotensi mendatangkan bahaya sekiranya tidak dikendalikan dengan langkah keselamatan yang sewajarnya. – DAKWAT RAKYAT POST
