Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan status pelarian bukan lesen atau bermakna mereka kebal daripada tertakluk kepada undang-undang di negara ini.
Sebaliknya, KDN dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan penguatkuasaan membabitkan pelarian di negara ini akan terus diambil sekiranya terbabit dalam aktiviti jenayah, penyeludupan migran, pemerdagangan orang, pelanggaran undang-undang imigresen dan kesalahan lain.
Kementerian itu juga mengambil maklum terdapat kes tertentu membabitkan individu daripada komuniti pelarian yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“KDN ingin menegaskan status pelarian tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia. Mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang negara tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa.
“Status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia. Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti jenayah, penyeludupan migran, pemerdagangan orang, pelanggaran undang-undang imigresen dan kesalahan lain tanpa mengira kewarganegaraan atau status mereka, ” katanya.
Mengulas lanjut kebimbangan rakyat susulan kebanjiran pelarian khususnya etnik Rohingnya di negara ini, KDN mengakui isu itu perlu dijelaskan berdasarkan fakta, realiti semasa dan tanggungjawab.
Dalam penerangannya, kementerian itu berkata, Malaysia berdepan isu pelarian sejak sekian lama dan ia berkait isu legasi yang berlarutan selama berdekad-dekad dan merentasi pelbagai pentadbiran.
Justeru, katanya, isu terbabit memerlukan pendekatan yang lebih teratur dan berasaskan data bagi membantu kerajaan mengurus pelbagai implikasi yang berkait dengan keselamatan, kesihatan awam, pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, berstruktur dan berasaskan penyelesaian jangka panjang bagi mengurus isu legasi ini.
“Pendekatan yang diambil bukanlah untuk menggalakkan kemasukan pelarian atau memberikan mereka status baharu, sebaliknya untuk memastikan kerajaan mempunyai keupayaan yang lebih baik dalam mengurus realiti yang lama wujud dalam negara.
“Isu ini perlu diuruskan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira pertimbangan keselamatan, undang-undang, kepentingan negara serta realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, KDN turut memperbetulkan salah faham susulan pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) melalui Jabatan Imigresen.
Katanya, usaha terbabit bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
Sebaliknya, status mereka kekal tertakluk kepada mekanisme sedia ada termasuk proses penempatan semula ke negara ketiga yang diuruskan melalui saluran berkaitan.
“Usaha Kerajaan MADANI melalui pelaksanaan DPP adalah langkah penting ke arah pengurusan pelarian yang lebih tersusun, berasaskan data dan bertanggungjawab, demi memastikan keselamatan dalam negeri terus terpelihara serta kepentingan rakyat Malaysia sentiasa diutamakan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
