TANAH MERAH: Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara.
Hamzah berkata, parti berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada minggu hadapan.
Katanya, nama parti berkenaan diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ramai orang tanya mana parti Gerakan RESET. Hari ini saya nak maklumkan parti ini diberi nama oleh Presiden PAS iaitu Parti Wawasan Negara.
“Parti kami baru dilahirkan dan tidak dijaga oleh ayahanda (Tan Sri Abdu Hadi Awang). Kami mahu bersama dengan PAS, GERAKAN dan rakan-rakan.
“Insya-Allah kita akan bersama-sama bekerjasama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda masa depan rakyat dan negara,” katanya berucap pada Konvensyen RESET yang dirasmikan Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Konvensyen RESET yang julung kali diadakan itu dihadiri kira-kira 20,000 penyokong parti.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, beliau cukup terharu dengan kehadiran penyokong serta pimpinan PAS dan GERAKAN pada konvensyen hari ini.
“Kita berkumpul dalam satu majlis yang saya tidak sangka dan tidak pernah impi apabila hari ini berdepan dengan pimpinan dan penyokong PN yang menyebabkan saya sangat terharu.
“Apabila kita dibuang dan terbuang, kita mengharapkan rakan-rakan untuk mengangkat, mengutip dan meneruskan perjuangan kita.
“Hari ini saya lihat dan nampak sebagaimana yang saya idamkan apabila keluarga dan rakan serta sahabat saya iaitu tidak lain tidak bukan adalah pimpinan PAS bersama saya serta pimpinan GERAKAN,” katanya.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dilaporkan berkata parti baharu diumumkan Hamzah nanti akan menjadi anggota kepada sebuah gabungan parti-parti politik supaya lebih kuat.
Tegas beliau, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU kini mengetuai ‘RESET’ sebagai satu gerakan untuk melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baharu dan untuk merealisasikannya, ia perlu kepada sebuah parti politik.
Kredit sumber: Berita Harian
