KOTA KINABALU, 13 Jun 2026: Seorang pemerhati politik, Atan Leecas, mempersoalkan mengapa Presiden Parti Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal sehingga kini tidak mengambil tindakan saman fitnah terhadap, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin susulan beberapa dakwaan serius yang pernah dibuat secara terbuka sebelum ini.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Atan berkata persoalan tersebut wajar dijawab demi menjaga integriti dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin politik negara.
Menurut beliau, sekiranya dakwaan yang dibangkitkan sebelum ini adalah tidak benar, palsu atau berunsur fitnah, tindakan undang-undang dilihat sebagai antara saluran yang boleh digunakan untuk membersihkan nama dan reputasi pihak yang terlibat.
Beliau berkata, tindakan berdiam diri terhadap dakwaan yang pernah menjadi perhatian umum hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan serta spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Atan turut menyatakan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan yang pernah dibangkitkan itu telah dijawab secara menyeluruh atau ditangani melalui saluran perundangan.
Menurut kenyataan itu, antara perkara yang pernah dibangkitkan oleh Zuraida sebelum ini ialah dakwaan berkaitan sejumlah wang tunai yang didakwa melibatkan beberapa transaksi serta persoalan mengenai sumber kewangan yang digunakan.
Atan berkata, sekiranya dakwaan tersebut tidak berasas, maka penjelasan yang jelas dan tindakan yang sewajarnya boleh membantu menamatkan polemik yang berpanjangan.
Selain itu, beliau turut membangkitkan persoalan sama ada pihak berkuasa pernah menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan yang pernah dibangkitkan serta apakah hasil daripada proses tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kenyataan itu tidak bertujuan mengesahkan mana-mana dakwaan yang pernah dibuat.
Atan berkata, sebagai tokoh politik yang pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan, Shafie sewajarnya tampil memberikan penjelasan yang jelas dan meyakinkan bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan rakyat.
Katanya, kenyataan tersebut juga bukan bertujuan membuat tuduhan baharu terhadap mana-mana pihak, sebaliknya menggesa agar isu yang telah lama dibangkitkan di ruang awam diberikan penjelasan secara terbuka, telus dan bertanggungjawab.
“Ketelusan dan akauntabiliti merupakan prinsip penting dalam demokrasi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan sebarang dakwaan serius yang mempunyai kepentingan awam wajar dijawab melalui saluran yang sesuai,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
