PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 471 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 31 majikan menerusi 179 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh lima hari bermula 8 Jun hingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan diambil hasil pemeriksaan 1,494 individu tempatan dan warga asing dalam operasi yang dijalankan di pelbagai lokasi tumpuan.
Menurutnya, PATI yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan berkaitan, manakala majikan terbabit dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
“JIM terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara melalui pelaksanaan operasi yang lebih agresif dan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengekang penyalahgunaan kemudahan pas yang diberikan kepada warga asing,” katanya.
Beliau berkata, Johor merekodkan jumlah operasi tertinggi dalam tempoh tersebut dengan 52 operasi diikuti Perak sebanyak 36 operasi, Kedah (25 operasi) dan Putrajaya (22 operasi).
Tambahnya, antara fokus utama operasi yang dijalankan adalah memastikan warga asing mematuhi syarat-syarat pas yang diberikan oleh kerajaan.
Menurutnya, setiap pas yang dikeluarkan mempunyai tujuan dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh pemegangnya bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
“Sebarang penyalahgunaan pas termasuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan atau terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
“Kegagalan mematuhi syarat pas bukan sahaja boleh menyebabkan pas dibatalkan, malah boleh membawa kepada tindakan penahanan, pendakwaan dan pengusiran dari negara ini,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara khususnya terhadap warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah, penyalahgunaan pas dan bekerja tanpa kebenaran.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran atau aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Tindakan penguatkuasaan secara berterusan ini penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara dan kepentingan rakyat Malaysia terus diutamakan,” katanya.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
