GEORGE TOWN: Tiga premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen sah di kawasan Batu Feringghi dan Seri Tanjung Pinang diarah tutup serta disita dalam tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi OPS TEGAS oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), operasi yang dijalankan kira-kira jam 5.30 petang pada 13 November itu turut mengesan penglibatan warga asing dalam aktiviti pengendalian dan pengurusan premis perniagaan berkenaan.
Operasi berkenaan melibatkan 18 anggota penguat kuasa daripada Jabatan Pelesenan menerusi Unit Tindakan Khas, Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.
Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan MBPP yang sah bagi tahun 2026.
Susulan itu, MBPP melaksanakan arahan penutupan dan penyitaan terhadap semua premis berkenaan, termasuk menyita papan iklan, sepanduk, rak makanan, peralatan perniagaan serta peralatan pemotongan yang digunakan dalam operasi premis.
Majlis turut melakukan rampasan barangan berkaitan serta pelupusan serta-merta terhadap barangan tertentu yang dikenal pasti ketika pemeriksaan.
Arahan penutupan dilaksanakan menerusi pemasangan pita penghadang dan pengedap (seal-off) bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dihentikan serta-merta sehingga isu ketidakpatuhan dan kacau ganggu diselesaikan.
Kesemua pengusaha dan pihak yang berada di premis turut diserahkan notifikasi bertulis serta diarahkan supaya tidak membuka atau merosakkan pita pengedap, menceroboh premis bagi tujuan perniagaan atau meneruskan sebarang aktiviti perniagaan di dalam mahupun di luar premis.
Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
MBPP menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, melanggar syarat pelesenan atau melibatkan pengendalian dan pengurusan oleh warga asing yang tidak mematuhi peraturan berkaitan.
Usaha berterusan itu bertujuan memastikan setiap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBPP dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi peraturan serta syarat pelesenan yang ditetapkan.-DAKWAT RAKYAT POST
