BEAUFORT: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) komited memperkukuh industri akuakultur di Sabah menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk penyediaan benih udang, kemudahan penyimpanan hasil dan sokongan teknikal kepada pengusaha.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu pengusaha tempatan meningkatkan pengeluaran serta mengembangkan perusahaan ternakan udang yang dilihat mempunyai potensi pulangan ekonomi yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke projek ternakan udang di Kampung Bintuka, di sini, pada Jumaat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Ahli Parlimen Sipitang.
Menurut beliau, kawasan ternakan tersebut kini diusahakan oleh enam pengusaha melibatkan keluasan kira-kira 50 ekar, dengan hasil pengeluaran dipasarkan ke Kota Kinabalu dan Brunei.
“Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian pasaran, termasuk untuk dibekalkan kepada restoran makanan laut di Kota Kinabalu.
“Hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri keperluan mereka dan sebagai langkah awal, kerajaan akan membantu menyediakan sebanyak 500,000 benih udang untuk digunakan di kolam-kolam sedia ada,” katanya kepada media.
Jamawi berkata, kementerian turut bersetuju untuk menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebuah tapak yang bersesuaian telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan kolam simpanan serta kemudahan bilik sejuk bagi memastikan hasil tuaian dapat diuruskan dengan lebih sistematik.
“Ketika musim tuaian, ada masanya pembeli tidak dapat mengambil semua hasil dengan segera. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha boleh menyimpan hasil mereka dalam keadaan yang lebih baik sebelum dipasarkan.
“Kemudahan penyimpanan ini juga mampu membantu mengekalkan kesegaran dan kualiti udang sehingga tempoh sebulan,” katanya.
Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan berupaya menjana pendapatan yang lumayan sekiranya diurus secara cekap dan berdaya maju.
Katanya, sebuah kolam ternakan udang mampu menghasilkan sehingga 10 tan metrik udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap pusingan ternakan.
“Sebab itu saya sering menekankan bahawa sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu memberikan pulangan yang baik kepada pengusaha, khususnya penduduk luar bandar, sekiranya dilaksanakan secara terancang,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi turut menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan pengusaha ternakan udang di kawasan berkenaan yang terus meneruskan operasi walaupun industri tersebut berdepan pelbagai cabaran di beberapa lokasi lain.
“Saya melihat pengusaha di sini masih mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan perusahaan ini. Di tempat lain, ada yang berdepan masalah penyakit, bekalan air dan pelbagai faktor lain yang menjejaskan pengeluaran.
“Bagaimanapun, keadaan di sini agak baik dengan adanya pemantauan serta bantuan berterusan daripada pegawai Jabatan Perikanan,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah (DOF) turut diarahkan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan para pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan kualiti ternakan dan produktiviti pengeluaran.
“Peruntukan untuk tujuan tersebut memang tersedia di Jabatan Perikanan. Saya berharap pelaksanaannya dapat disusun dengan lebih teratur dan sekiranya tidak dapat dilaksanakan tahun ini, ia akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan seawal mungkin pada tahun hadapan,” katanya.
Jamawi berkata, spesies yang diternak di kawasan berkenaan ialah udang putih atau Penaeus vannamei, yang merupakan antara spesies utama dalam industri akuakultur kerana permintaannya yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Kampung Binsuluk bagi meninjau perusahaan belacan dan ikan bilis yang diusahakan penduduk setempat.
Turut hadir Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber, Konservasi dan Penyelidikan Jabatan Perikanan Sabah, Irman Isnain; Ketua Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Moris Chong; serta Penguasa Perikanan Daerah Beaufort, Abdul Adnan Amna. – DAKWAT RAKYAT POST
