KOTA KINABALU: Pasangan adik-beradik dari Sabah, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila mencatat pencapaian membanggakan pada Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Muhammad Yahya muncul juara dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, manakala abangnya, Khayr Akhtar berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik bagi kategori lelaki bawah 15 tahun.
Kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 12 Jun itu diadakan di tiga venue utama iaitu Sutera Harbour Golf & Country Club, Sabah Golf & Country Club serta Nexus Golf Resort Karambunai.
Kejayaan tersebut sekali gus meneruskan rentak cemerlang kedua-dua atlet muda berkenaan selepas masing-masing menjuarai kategori yang disertai pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) yang berlangsung pada Mei lalu.
Selain merangkul gelaran juara individu kategori 12 tahun lelaki, Muhammad Yahya turut membantu pasukan Sabah menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara berpasukan lelaki bawah 12 tahun.
Muhammad Yahya berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian yang diraih dan berharap prestasi cemerlang itu dapat diteruskan dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
“Selepas kejayaan saya dan abang, Khayr Akhtar, kami berharap momentum ini dapat diteruskan menerusi kejohanan yang lain.
“Saya akan menyertai kejohanan di Miri, Sarawak pada bulan Julai dalam kategori saya, manakala abang pula akan beraksi di Jakarta, Indonesia.
“Alhamdulillah, berkat latihan yang berterusan serta sokongan kuat daripada ibu bapa, kami berdua berjaya mengharungi cabaran kali ini. Kami amat berharap kejayaan ini dapat diteruskan dalam siri kejohanan akan datang,” katanya.
Pencapaian kedua-dua beradik itu bukan sahaja menyerlahkan bakat muda Sabah dalam sukan golf, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi pelapis untuk terus berusaha mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat lebih tinggi. – DAKWAT RAKYAT POST
