KOTA KINABALU: Astro AWANI muncul antara penerima terbesar pada Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 apabila berjaya merangkul dua anugerah utama daripada tujuh kategori yang dipertandingkan.
Majlis berprestij itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam kategori Pelaporan Perniagaan dan Ekonomi bagi penyiaran, Mohd Ridzal Abdullah bersama Zulhafiiz Ibrahim dinobat sebagai pemenang menerusi karya bertajuk ‘Synborneo cipta persekitaran biodiversiti lestari’ dan ‘Lahad Datu Syurga Pelancongan Maritim’, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500.
Mohd Ridzal sekali lagi mengharumkan nama Astro AWANI apabila bergandingan dengan Saiful Azizul Nashruddin menerusi laporan khas empat siri ‘Hutan DaMai – Imbak Canyon Yayasan Sabah’ yang memenangi kategori Kewartawanan Alam Sekitar bagi penyiaran.
Kemenangan itu turut melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM2,500.
Secara keseluruhan, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan pada KPA 2026 melibatkan pelaporan berita, rencana, perniagaan dan ekonomi, alam sekitar, sukan, hiburan, fotografi serta kewartawanan penyiaran dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Turut mencuri perhatian ialah kemenangan TV3 menerusi gandingan Safwan Sawi dan Fairuz Yazzer yang meraih Anugerah Kewartawanan Penyiaran menerusi laporan ‘Sedekad Gempa Bumi Ranau: Menjejaki Kisah Masih Belum Disingkap Di Sebalik Tragedi’, sekali gus membawa pulang hadiah utama.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil dalam ucapannya berkata KPA 2026 menerima sebanyak 354 penyertaan, meningkat berbanding 268 penyertaan tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan pengamal media dalam menghasilkan laporan berkualiti meskipun industri kewartawanan berdepan cabaran perubahan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).
Mariah turut menegaskan masyarakat masih memerlukan kewartawanan yang berwibawa dan dipercayai, sambil mengingatkan bahawa penghasilan laporan berkualiti memerlukan kos serta sokongan ekonomi yang mampan kepada organisasi media.
Beliau turut mengumumkan pengenalan Anugerah Mobile Journalism (MOJO) pada KPA 2027 sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pengamal media meneroka pendekatan kewartawanan digital yang lebih relevan dengan kehendak semasa.
Kejayaan merangkul dua anugerah utama itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Astro AWANI sebagai antara organisasi media penyiaran yang terus menghasilkan karya berkualiti tinggi dan jenama paling dipercayai dalam landskap kewartawanan negara.
Kredit sumber: Astro AWANI
