LAHAD DATU – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menegaskan komitmen untuk terus menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan relevan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu yang juga Exco Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Datuk Sri Dr. Anil Sandhu berkata golongan muda perlu membuat pilihan berdasarkan kepimpinan yang mempunyai rekod perkhidmatan dan kemampuan untuk membawa pembangunan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, landskap politik Sabah mempunyai pendekatan tersendiri dan memerlukan kerjasama erat antara parti-parti komponen dalam memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri.
Katanya, UMNO Sabah kekal komited dalam kerjasama bersama gabungan kerajaan negeri dan menyifatkan hubungan antara parti komponen ketika ini berada dalam keadaan baik.
“Saya mengharapkan gabungan di Sabah terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan sedia ada, khususnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor. Sebagai sebahagian daripada kepimpinan kerajaan negeri, saya akan terus mendukung dan menyokong kerajaan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu.
Dalam pada itu, Dr Anil turut menyeru rakyat supaya memilih pemimpin yang benar-benar berkhidmat kepada masyarakat khususnya bagi kerusi Parlimen dan tidak membuat pilihan berasaskan sentimen semata-mata.
“Kali ini buatlah pilihan sebenar. Wakil rakyat dipilih untuk bekerja dan membawa manfaat kepada rakyat, bukan untuk kepentingan diri,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa terdapat suara dalam kalangan rakyat di Lahad Datu yang mahu beliau menjadi calon Ahli Parlimen, Dr Anil berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kesatuan dalam kalangan parti gabungan bagi memperkukuh perjuangan politik serta merampas semula kerusi yang kini dimenangi pihak lawan.
Turut hadir Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak.
