TAWAU, 1 Julai 2026 – Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berkuat kuasa hari ini disambut baik orang ramai di Tawau yang menyifatkan langkah itu sebagai satu kelegaan kepada pengguna serta membantu mengurangkan kos sara hidup.
Rata-rata pengguna berkata, pemansuhan caj berkenaan bukan sahaja membolehkan mereka berjimat dalam urusan harian, malah memberi lebih kebebasan untuk menggunakan mana-mana mesin ATM tanpa perlu memikirkan kos tambahan.
Seorang ibu tunggal, Nur Ainul Mardiah Theodorus, 56, berkata inisiatif itu amat bermakna khususnya kepada golongan berpendapatan rendah yang sering melakukan pengeluaran tunai di mesin ATM milik bank lain.
Menurutnya, setiap penjimatan walaupun kecil tetap memberi manfaat kepada individu yang mempunyai sumber pendapatan terhad.
“Bagi saya sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja, pemansuhan caj ini sangat membantu. Walaupun hanya RM1, ia tetap boleh digunakan untuk menampung sedikit perbelanjaan harian,” katanya.
Seorang pengurus syarikat, Hervuddin Hasyim, 49, pula menyifatkan keputusan itu sebagai langkah yang memudahkan urusan orang ramai, terutama ketika perlu mengeluarkan wang di lokasi yang tidak mempunyai mesin ATM bank sendiri.
Katanya, pengguna kini tidak lagi perlu menambah jumlah pengeluaran semata-mata untuk menampung caj yang dikenakan sebelum ini.
“Kadang-kadang kita hanya mahu mengeluarkan amaun tertentu, tetapi terpaksa menambah jumlah pengeluaran kerana perlu membayar caj. Kini perkara itu tidak lagi menjadi beban kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Sabturiah Jumadil, 53, berkata pemansuhan caj tersebut memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih mesin ATM yang paling hampir tanpa mengira bank pengeluar kad.
Beliau berkata, kemudahan itu amat membantu kerana beliau sering membuat pengeluaran tunai di mesin ATM yang terdapat di stesen minyak atau kiosk perbankan berhampiran.
“Kita kini lebih bebas membuat pengeluaran di mana-mana mesin ATM yang mudah diakses tanpa perlu memikirkan caj tambahan,” katanya.
Bagi seorang kerani, Ann Nieta, 25, pula, langkah berkenaan menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat, terutama mereka yang kerap melakukan urusan pengeluaran tunai di luar kawasan.
Katanya, sebelum ini pengguna kadangkala berasa terbeban apabila terpaksa membayar caj tambahan hanya kerana menggunakan mesin ATM bank lain.
“Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dengan pelaksanaan pemansuhan caj itu, pengguna kini boleh membuat pengeluaran tunai antara bank di lebih 14,000 mesin ATM di seluruh negara tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan.
Langkah tersebut dilihat mampu meningkatkan kemudahan akses kepada perkhidmatan kewangan, selain memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi penjimatan kos dalam urusan perbankan harian. – DAKWAT RAKYAT POST
