KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen bertikam lidah selepas seorang daripada mereka dituduh menggunakan statistik lama dan tidak tepat untuk mendakwa kes jenayah seksual kanak-kanak meningkat di Kelantan.
Kekecohan bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempertahankan kenyataannya semalam dengan menegaskan laporan yang dipetiknya termasuk daripada New Straits Times (NST) menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual di negeri berkenaan.
“Seperti yang saya katakan semalam, ini adalah tuduhan yang dibuat terhadap saya. Semasa saya berbahas semalam, saya merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh NST dan Free Malaysia Today (FMT) yang menunjukkan statistik kes kesalahan seksual di Kelantan semakin meningkat. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diputar belit,” katanya.
Kekecohan itu berlaku ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.
Rayer berkata, soalannya kepada Timbalan Menteri yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu adalah mengapa kerajaan tidak memberi tumpuan untuk mengurangkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didakwanya semakin berleluasa di Kelantan.
“Apakah tindakan kerajaan? Itu soalan saya, bukannya satu penipuan,” katanya.
Tindakan itu mendorong Kulasegaran berulang kali meminta supaya isu berkenaan tidak dipolitikkan sambil mempertahankan laporan yang dibangkitkan oleh Rayer.
“Perkara itu (laporan media) tidak boleh dinafikan dan angka-angka juga sudah diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) mencelah dan menjelaskan bahawa laporan NST yang dipetik Rayer bertajuk “Kelantan antara negeri kes jenayah seksual tertinggi, kata Pengarah JSJ Bukit Aman” adalah bertarikh 16 Mac 2023.
Beliau sebaliknya berkongsi laporan yang lebih baharu bertarikh 15 Mei 2024 bertajuk “Selangor tertinggi bagi kes jenayah seksual sejak tiga tahun lalu”.
“Kenapa? Kerana populasinya (Selangor) tinggi. Jadi, jangan politikkan perkara ini.
“Mengenai jenayah seksual kanak-kanak, ketepikan di negeri mana ia berlaku. Kita fokus kepada bagaimana untuk menyelesaikannya. Jangan politikkan. Jelutong, tutup buku (mengenai isu ini). Terima kasih,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) turut menyangkal dakwaan berkenaan dengan memetik statistik jenayah kanak-kanak daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi membuktikan Kelantan tidak pernah menjadi negeri tertinggi dalam sebarang bentuk jenayah seksual kanak-kanak.
“Sebab itu saya bawa statistik kanak-kanak di sini daripada DOSM sendiri, Timbalan Menteri. Saya mahu bantu Timbalan Menteri menjawab tuduhan liar daripada Jelutong.
“Kelantan tidak pernah muncul dalam statistik ini sebagai negeri yang mempunyai kadar tertinggi dalam sebarang jenayah seksual membabitkan kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mendakwa, Rayer memetik laporan media tanpa sokongan statistik yang betul, selain menggunakan isu berkenaan demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Memetik media di sana sini tanpa sebarang statistik adalah satu jenayah akademik yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen, dan ini adalah politik murahan oleh Jelutong untuk berkempen bagi pilihan raya Johor,” katanya.
Sementara itu, ketika Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, cuba menghalang Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) daripada terus mencelah dan mengarahkan Kulasegaran meneruskan ucapan, Awang sempat melemparkan kata-kata sindiran terhadap Rayer.
“Masalahnya ialah ‘mangkuk hayun’ itu yang mempolitikannya,” katanya.
Kulasegaran kemudian meminta semua pihak bertenang sambil menyatakan beliau bertanggungjawab untuk menjawab seberapa banyak soalan yang dikemukakan dan bimbang perbahasan berkenaan akan bertukar menjadi agenda politik semata-mata.
“Tugas saya adalah untuk menjawab seberapa banyak soalan yang ditanya. Jika saya tidak menjawab soalan-soalan ini, kita semua yang akan rugi,” katanya. – Berita Harian
