KENINGAU, 1 Julai 2026 – Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan komuniti apabila menganjurkan Kursus Pembuatan Meatball Halal yang berjaya menarik penyertaan seramai 22 peserta di masjid berkenaan, hari ini.
Program anjuran Biro Kebajikan dan Muslimah Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor itu bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran masyarakat dalam penyediaan makanan halal, di samping membuka peluang kepada peserta menceburi bidang keusahawanan berasaskan makanan.
Kursus tersebut dikendalikan oleh Suriaty Rahmat yang berkongsi teknik penyediaan meatball buatan sendiri mengikut piawaian halal, bersih, selamat dan berkualiti, selain membantu peserta menghasilkan produk yang lebih menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.
Dalam ucapannya, Yazid merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan dan Muslimah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas usaha menganjurkan program yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Suriaty Rahmat kerana sudi berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan penyediaan makanan halal yang berkualiti kepada para peserta.
Menurutnya, program berasaskan kemahiran seperti itu bukan sahaja meningkatkan pengetahuan peserta, malah membantu keluarga menyediakan makanan yang lebih bersih, selamat dan diyakini halal, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian.
Katanya, kemahiran yang diperoleh juga boleh dijadikan asas untuk memulakan perusahaan kecil atau perniagaan dari rumah yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga.
Beliau berkata, penganjuran kursus berbentuk kemahiran sejajar dengan usaha memperkasa masyarakat melalui penguasaan ilmu praktikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.
Tambahnya, institusi masjid perlu terus diperkasakan bukan sekadar sebagai tempat beribadah, malah menjadi pusat pembangunan ilmu, kebajikan, kemahiran dan ekonomi ummah yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak program latihan dan kursus kemahiran dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berdikari serta memiliki nilai tambah dalam pelbagai bidang. – DAKWAT RAKYAT POST
