LAHAD DATU: Tiga lelaki warga Filipina ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pemilikan dadah menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintenden, Jimmy Panyau berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 45 tahun itu ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di sekitar Dataran Palma, Jalan Reno Fajar dan Kampung Bakau.
Menurut beliau, hasil operasi itu membawa kepada rampasan 5.75 gram dadah disyaki syabu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM632.50.
“Rampasan melibatkan tujuh paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu serta tujuh gulung kertas timah (foil) yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua daripada mereka turut didapati positif amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat. Barang kes pula akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Jimmy turut menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di talian 089-881255.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibanteras, dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.
