LAHAD DATU, 1 Julai 2026 – Pengguna kenderaan diesel di daerah ini berpusu-pusu ke stesen minyak pada malam Selasa bagi mengisi tangki penuh sebelum pelaksanaan kuota diesel di bawah Program BUDI Diesel yang bermula hari ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati orang ramai mengambil kesempatan membeli diesel pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum kuota bulanan sebanyak 200 liter mula digunakan.
Rata-rata pengguna yang ditemui berkata tindakan itu bukan disebabkan panik, sebaliknya sebagai langkah berjimat bagi memaksimumkan penggunaan kuota subsidi yang diberikan kerajaan.
Seorang pekerja swasta, Mohamad Ik Ruzairin Mahadi, berkata kuota 200 liter sebulan tidak mencukupi, khususnya bagi pengguna di Sabah yang perlu menempuh perjalanan jauh hampir setiap hari.
Katanya, keadaan geografi negeri ini menyebabkan ramai pengguna bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan pekerjaan dan keluarga, sekali gus memerlukan penggunaan bahan api yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
“Ini bukan ‘panic buying’, tetapi strategi untuk berjimat. Kami mahu menggunakan harga subsidi sedia ada sebelum kuota bermula kerana 200 liter sebulan memang tidak mencukupi, terutama bagi pengguna yang sering melakukan perjalanan jauh seperti dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu,” katanya.
Seorang peniaga, Mohd Shadam Mohd Abu, turut menyuarakan kebimbangan bahawa kuota berkenaan sukar memenuhi keperluan pengguna diesel di Sabah.
Beliau berkata, faktor jarak antara daerah serta bentuk muka bumi negeri ini perlu diambil kira dalam menentukan jumlah kuota subsidi yang diberikan.
“Pengguna cuba memanfaatkan harga subsidi RM2.15 seliter selagi masih boleh kerana kami bimbang kuota 200 liter itu akan habis dengan cepat,” katanya.
Mulai hari ini, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di bawah Program BUDI Diesel diberikan kuota sebanyak 200 liter sebulan bagi pembelian diesel bersubsidi.
Pemilik pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) diesel persendirian pula boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Program BUDI Diesel diperkenalkan bagi memastikan pemberian subsidi diesel lebih bersasar kepada golongan yang layak, di samping mengurangkan ketirisan subsidi.
Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan permohonan boleh diperoleh melalui portal rasmi Program BUDI MADANI di budimadani.gov.my. – DAKWAT RAKYAT POST
