KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS berhampiran Alamesra, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala pemandu Perodua Alza, lelaki berusia 57 tahun, terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 10 anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah EMRS ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kedua-dua kenderaan terbabit bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu Perodua Viva yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas (Rescue Tools).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan KKM sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
Kredit sumber: Info X
