KUALA LUMPUR: “Sepatutnya ada ‘shooting’ hari ini. Tetapi sudah jadi macam ini, saya terpaksa ‘gantung’ dia sementara,” kata penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam.
Yusof mengulas mengenai isu penahanan seorang pelakon wanita drama kepolisan yang positif dadah.
Yusof berkata, kebetulan penggambaran drama bersiri itu akan selesai, jadi keputusan itu wajar diambil oleh pihaknya.
“Memang, kita pun hendak habis ‘shooting’. Kita ‘shooting’ lagi dua minggu akan habis. Jadi, apa yang berlaku itu, biar jadi satu pengajaran.
“Perkara ini polis pun sudah bagi tahu, kita, sebagai pelakon, kalau boleh jangan terlibat dengan dadah dan apa-apa juga perkara negatif.
“Tetapi, apabila sudah terlibat dengan dadah ini, tidak eloklah,” katanya.
Yusof berkata, dia pernah menasihatkan pelakonnya agar tidak berkelakuan buruk, menjaga nama baik serta jangan memuatnaik gambar tidak sepatutnya di media sosial.
“Kita habiskan ‘shooting’ macam itu sajalah. Maksudnya, pasal kita sudah ‘shooting’ banyak. Babak-babak pun sudah tinggal sikit.
“Kalau tidak ada pun tak jadi masalah. Insya-Allah kita akan habis baki berapa babak saja lagi.
“Bukan apa, yang tak sedap itu kita baru lancarkan (drama), baru hendak siarkan minggu kedua Jumaat ini. Jadi kita sudah nasihat perkara ini. Tetapi, itulah hal ini jadi iktibar untuk kita semua,” katanya yang menyerahkan keputusan kepada siasatan polis.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal, ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Pelakon berkenaan ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Kredit sumber: Berita Harian
